Petaling Jaya: Kerajaan tidak akan meminta umat Islam di negara ini menangguhkan hasrat mengerjakan umrah, namun mahu mereka mengambil segala langkah yang perlu bagi mengelak dijangkiti Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata terpulang kepada umat Islam sama ada mahu mengikuti nasihat Kerajaan Arab Saudi supaya menangguhkan perjalanan ke Tanah Suci.
“Terpulang kepada rakyat kita sama ada mahu ikut nasihat itu. Tiada larangan ke atas jemaah atau perintah penangguhan ibadat berkenaan, tapi kita minta mereka bertindak bijak untuk kesihatan masing-masing,” katanya pada sidang media, di sini semalam.
Tiada larangan ke atas jemaah atau perintah penangguhan ibadat berkenaan, tapi kita minta mereka bertindak bijak untuk kesihatan masing-masing” Dr Subramaniam, Menteri Kesihatan
Pemangku Kementerian Kesihatan Arab Saudi, Adel Fakeih minggu lalu, menasihatkan kanak-kanak dan jemaah berusia lebih 65 tahun, iaitu kumpulan umur yang berisiko untuk dijangkiti virus terbabit supaya menangguhkan ibadat umrah atau haji sehingga ancaman penyakit berkenaan reda.