Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof
2011/02/11
Masalah teknikal sistem bayaran punca Arab Saudi beku pengeluaranKUALA LUMPUR: Visa untuk mengerjakan umrah di Makkah yang dibekukan sejak Disember lalu akan dikeluarkan semula Kerajaan Arab Saudi mulai Ahad ini.
Pembekuan visa itu berpunca daripada masalah teknikal pada sistem pembayaran syarikat dilantik Kementerian Haji Arab Saudi yang bertanggungjawab menguruskan sistem pembayaran visa umrah.
Presiden Al Hussam Co iaitu syarikat dilantik Kerajaan Arab Saudi mengendalikan visa umrah, Khalid A Khogeer, berkata masalah teknikal itu menyebabkan segala urusan pembayaran tidak dapat dilakukan.
“Masalah teknikal akan selesai dan Ahad ini insya-Allah visa umrah dikeluarkan untuk jemaah dari Malaysia,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Al Hussam Co yang beribu pejabat di Jeddah, berpengalaman lebih 40 tahun dalam penyediaan perkhidmatan haji dan umrah.
Sementara itu, Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Ayub Hassan, berkata bakal jemaah tidak harus menuding jari kepada ejen pelancongan berikutan kelewatan yang dihadapi.
Berikutan kelewatan itu, katanya, terdapat satu atau dua rombongan jemaah yang dijadualkan berlepas pada minggu ini terpaksa ditunda kepada tarikh lain.
“Setakat ini masih belum ada jemaah yang terkandas kecuali kelewatan berikutan tidak mendapat visa umrah.
“Umat Islam dinasihat menggunakan perkhidmatan serta pakej umrah ejen berdaftar dan menandatangani kontrak dengan ejen mengendalikan umrah di Arab Saudi,” katanya.
Ayub berkata, setakat ini 30 syarikat atau ejen di Malaysia menandatangani perjanjian dengan muassasah Arab Saudi dan layak menguruskan jemaah umrah.
Jemaah yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai ejen boleh menghubungi BUMITRA di talian 03-4042 8211 atau melayari laman www.bumitra.org.my.
Berita Lain